Saturday, February 16, 2019

"Sesiapa mentaatiku, dia mentaati Allah.."


Rasulullah s.a.w bersabda: " Barangsiapa yang mentaati aku, maka dia mentaati Allah. dan barangsiapa yang mendurhakai (bermaksiat pada) aku, maka dia telah mendurhakai (bermaksiat pula pada) Allah. dan barangsiapa yang mentaati pemimpin yang aku tunjuk, dia juga telah mentaati aku. dan barangsiapa yang bermaksiat kepadanya, maka dia telah bermaksiat padaku.."

Berdasarkan hadith di atas, suka saya menceritakan sebuah kisah yang menarik pada zaman pemerintahan Nabi s.a.w. Kisahnya lucu tapi penuh hikmah dan iktibar.

Suatu hari, ketika umur islamnya Amru ibn Al-As baru menjangkau 3 bulan, Nabi telah memilihnya untuk menjadi ketua panglima perang, memerangi satu suku arab yang pada saat itu ingin menyerang kota Madinah. Para sahabat seperti Umar Al-Khattab, Abu Bakr, Ali, juga ada pada saat itu, tapi Nabi s.a.w memilih Amru melebihi mereka.

Mengetahui Amru yang baru sahaja memeluk Islam, yang dahulunya merupakan musuh ketat Islam, Umar khususnya merasakan pemilihan ini sedikit sukar untuk ditelan tapi beliau tetap akur dan taat pada pilihan Rasulullah s.a.w..

Bermulalah perjalanan mereka, membawa panji Islam merentasi lautan padang pasir yang sangat kedinginan ketika itu kerana musim sejuk, dikepalai ketua mereka Amru ibn Al-As. Sampai di satu tempat, mereka berhenti berehat dan bermalam, Amru menyatakan satu arahan, "Tiada sesiapa dibenarkan menyalakan api!"

Dalam cuaca yang sangat kedinginan itu sehingga mencucuk tulang, Amru menghalang menyalakan api?! Umar bangkit bersuara, " Ya Amr, sejukk.." Suaranya yang keras dengan badannya yang tegap sasa lebih besar daripada Amru bisa saja digunakan untuk melepaskan geram. Amru tidak melayan keluhan Umar, dia tetap dengan arahannya. Tidak berganjak sedikit pun.

Umar berpaling kepada sahabatnya, Abu Bakr, " Hai Abu Bakr lihatlah, bagaimana bisa tidak menyalakan api,"

Abu Bakr membalas, "Ya Umar, ingat! Dia adalah pilihannya Rasulullah. Baginda tidak memilih kita dan sahabat lain yang lebih dahulu memeluk Islam melainkan baginda tahu dia layak memikulnya. Sabar dan akur saja. Pasti ada hikmahnya," Maka Umar diam dan memilih untuk bersabar.

Memang termaktub dalam syariat Islam, bahawa yang mengetuai peperangan akan menjadi imam solat mereka. Nak dijadikan cerita, pada malam hari Allah izin Amru berjunub dan dia perlu mandi untuk mengimami solat Subuh. Dia lalu meminta untuk dibawakan air. Umar bertanya,"untuk apa air?"

Amru menjawab, "aku berjunub dan aku mahu mandi wajib." Lalu, apabila dirasakan airnya terlalu dingin, dia berkata, "Airnya dingin sekali, aku bertayamum  saja."

Mendengarkan itu, Umar berkata,"kenapa mahu bertayamum? kan ada air.."

"tidak, aku bertayamum."

sekali lagi Umar berpaling ke arah Abu Bakr. "Ingat!" pesan Abu Bakr. Umar lalu meredamkan amarahnya, dan sekali lagi bersabar. Maka solatlah mereka Subuh diimami Amru yang mandi junub dengan bertayamum.

Usai solat, dengan satu laungan takbir oleh ketua panglima mereka, maka bermulalah peperangan menentang suku arab tersebut. Dalam suasana yang gelap masih pekat malam dan bilangan kaum muslimin sekitar 300 orang (bilangan yang sangat sedikit dibandingkan dengan bilangan suku arab tersebut yang dikatakan jika mereka datang menyerang kota Madinah, bisa hancur kota itu), maka Amru mengarahkan bahawa berperang melawan musuh sentiasa berdua, dan tidak boleh meninggalkan temannya sehingga dia selesai bertarung.

Strategi Amr berjaya menewaskan kumpulan lawan. Musuh lari bertebaran. Mereka telah menang! Melihatkan perihal musuh yang kucar-kacir itu, para sahabat menjadi lebih bersemangat. Takbir dilaung dan mereka maju untuk mengejar mereka. Pantas Amr menghalang, "Berhenti! Jangan kejar mereka, biarkan mereka lari. Tetap duduk berkumpul di sini!"

Sekali lagi Umar bangkit bersuara, " Kita sudah menang, nak risau apa lagi. Mereka kabur ketakutan, inilah peluang untuk tangkap mereka."

"Tidak! Biarkan mereka."

Umar tidak puas hati. Sekembalinya rombongan perang ke kota Madinah membawa kemenangan, Umar turun daripada kudanya lalu terus mengadu kepada Rasulullah ketidakpuashatiannya terhadap perilaku dan arahan Amru.

Rasulullah s.a.w bertanya kepada Amru di depan semua sahabat, "Keluhan telah datang kepadaku, perjelaskanlah perbuatanmu itu Amr."

Maka Amru menjelaskan semuanya, " Adapun aku menghalang daripada menyalakan api kerana seperti yang kita maklum, bilangan kita sangat sedikit dan tentera musuh jauh lebih besar bilangannya daripada kita, jika ada yang menyalakan api saat itu maka pihak musuh akan nampak dan dapat kesan sikitnya tentera muslimin dan serang kita, lalu kita akan tewas."

Rasulullah menjawab," kamu benar."

"Berkenaan tayamum itu, airnya sangatlah dingin. Aku khuatir aku akan jatuh sakit atau paling parah mati kesejukan sedangkan aku adalah panglima perang pilihanmu ya Rasulullah. Bagaimana aku boleh laksanakan tugas ku dengan baik jika aku jatuh sakit? Maka aku memilih untuk bertayamum sahaja."

"Kamu benar," ujar baginda s.a.w. lagi.

"Dan perihal menghalangi keinginan tentera muslimin mengejar pasukan musuh malah aku perintahkan mereka berkumpul di satu tempat kerana bilangan kita sedikit, jika kita ikut bertebaran mengejar, dikhuatiri pihak musuh akan mengesan bilangan kita yang sedikit sedang mereka yang kabur itu masih terlalu banyak berbanding kita, mereka akan berpatah balik dan menyerang maka kita akan tewas pula. Memandangkan kita sudah menang, itu sudah cukup. Tujuan kita sudah tercapai. Lalu aku melarang mereka mengejar pihak musuh."

"Kamu benar,"

Mendengarkan penjelasan Amru dan dibenarkan oleh baginda, Abu Bakr di sebelah Umar mencuit Umar lalu berkata, "Nah, sudah tahukan sebabnya," candanya. Umar pun akur.

.....






Share:

Tuesday, February 12, 2019

Semangat yang hilang kembalilah

Usai menunaikan solat, dalam keadaan diri yang kepenatan dan kurang berdaya, Allah telah menggerakkan tangan saya untuk mencapai sebuah buku. Tanganku membelek-beleknya sedang mata laju membaca isi di dalamnya. Terdetik ingin membaca daripada tajuk yang pertama. Mataku lekat pada tajuknya yang sangat-sangat menarik perhatianku, "Dr Abdul Aziz Rantisi, sang doktor pembawa obor jihad."

Hanya 4 helai huraian berkenaan beliau sudah membuatkan diri ini terasa dicucuk-cucuk dengan nasihat. Terus rasa lemah tadi hilang, berganti semangat juang untuk mencontohi beliau. Merupakan seorang Master dalam bidang perubatan lepasan Universiti Iskandariah, Mesir, beliau kembali ke tanah air (Palestin) membawa pulang bukan saja sijil akademik, tapi juga membawa amanah dan fikrah perjuangan Islam ikhwanul muslimin. 

"Islam adalah jawapan kepada seluruh permasalahan hidup termasuk inilah senjata untuk kemuliaan Palestin, bukannya fahaman sosialis mahupun Arabisme yang ternyata gagal untuk berdepan dengan rejim Zionis." 

Kebenaran jihadnya terbukti apabila beliau bersama pemimpin-pemimpin gerakan Islam termasuk Syeikh Ahmad Yasin menubuhkan gerakan Islam HAMAS yang berteraskan al-quran dan as-sunnah. 

Beliau juga seorang hafizul quran. Diletakkan di balik gerigi besi bersama Syeikh Ahmad Yasin tidak melemahkan beliau malah diambilnya peluang dan masa yang terluang untuk melengkapkan hafazan al-qurannya. Saya yang membacanya berasa zuq untuk tetap istiqamah dan teguh dalam hafazan saya. "Ya Allah, anugerahkan hambaMu ini kekuatan dan kesabaran dalam menjadi hafizatul quranMu."

Menjadi pejuang dan pendukung Islam melawan rejim Zionis laknatullah pastinya tersenarai di dalam senarai mereka untuk dibunuh, tetapi itu sama sekali tidak melemahkan beliau malah cita-cita beliau untuk syahid di jalan mulia ini menyebabkan beliau terus teguh menggerakkan HAMAS. Takdir Allah telah tercatat sebagaimana doa yang sering dibibirnya, beliau syahid dalam keadaan yang paling mulia. 

... 

Selesai membaca kisah beliau, hatiku membuak-buak menangisi perihalku yang sangat lemah melawan nafsu. Nak melawan keburukan dalam diri saja sudah tewas, inikan pula nak berdepan dengan musuh muslimin yang zalim, menentang kekejaman musuh lagilah tersangat tak mampu. 

"Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Berikan kami semangat yang ampuh sebagaimana darah yang mengalir dalam diri pejuang generasi yang terdahulu daripada kami."
Share:

Saturday, February 9, 2019

seputar 27 januari



Tanggal 27 januari 2018, tarikh penyatuan dua hati kami. Segala persiapan dibuat secara sederhana kerana kami memilih untuk mengikut apa yang Rasulullah pesan, "bersederhana dan tidak membazir."

Segalanya kami lakukan sendiri, tidak meminta tolong sesiapa. Bukan apa, saya memang segan nak minta tolong orang selagi kita mampu lakukannya sendiri. Daripada doorgifts sehinggalah backdrop semua saya dan adik-beradik uruskan. Dengan tetamu yang dianggarkan sekitar 300-500 sahaja, persiapan yang kami buat juga sedikit dan tidak banyak.

Backdrop tu pun last minute punya kerja. Pada asalnya, mak saya berpendapat bahawa tidak perlu ada pelamin, nanti asyik duduk atas pelamin bergambar sahaja. Padahal sebenarnya, kita kena rai dan melayan tetamu yang datang. Saya pun setuju. Tapi, teringin juga nak buat backdrop yang simple yang tidak ada kerusi, dan dibuat di dalam rumah. Jadi dengan bajet yang sedikit, backdrop yang indah dan simple terhasil dengan izinNya. Alhamdulillah. (Credit to: Salma, Hamzah, mak, ayah, cik hanim). Ahmad dan Azzah pun sama, menyumbang idea dan bantu menghias langsir backdrop dan hiasan di tangga. πŸ’•

Makeup pun tak sangat. Saya berpendapat tidak perlu makeup tebal-tebal menampakkan cantik kita terlebih-lebih. Cantik wanita itu tunjuk depan suami saja lah. Tak perlu tunjuk depan semua orang. Pada hari kejadian, saya hanya memakai concealer (untuk bagi tona muka sekata) dan contact lens jernih (sebab rabun dan tak nak pakai spectπŸ˜‹ Tapi ini pun mak saya tak sarankan sangat. Tapi masa tu pujuk juga mak sebab memang saya taknak pakai spek. Kalau tak pakai contact lens nanti kang tak nampak tetamu pula😌 Alhamdulillah mak izinkan.). Saya juga memakai lip balm kerana bibir saya sering kering mengelupas. Itu sahaja. Segala jasa andam-andam ni diberikan kepada kakak iparku Azzah dan adikku Maryam❤️. Terima kasih ya!

Ohh! Tidak lupa juga Maryam yang tenang melayankan gabrah kakaknya ni. Inai pun pakai 4 jam sebelum majlis. Alhamdulillah ada adik yang tenang dan mahir bidang terjun. Dan Salma juga berjaya menghasilkan video majlis yang sangat cantik. 😍

Doorgifts hasil usaha mak, ayah dan adik2. Sangat proaktif. Order orang je mampu. Kerja kami cuma beli bag kertas dan print doa.

Kad kahwin lagilah jimat. Print sekadar 20 helai, untuk diberikan kepada keluarga di kampung. Selebihnya kad kahwin kami edar melalui medsos sahaja. Dah tersedia jalan yang mudah, whatsapp etc, kenapa tak guna kan? 😊 Urusan kad kahwin ini Salma yang settle. Siap ada banner lagi. Terima kasih Salma!

Music sebagai penyeri majlis saya serahkan sepenuhnya kepada Hamzah.

Hantaran juga kami 'diy'. Semua orang menyumbang dalam penyediaan barang-barang hantaran. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar walaupun persiapan sangatlah di akhir-akhir yakni seminggu sebelum tarikh ijab qabul kami.

Segala persiapan rumah credit to ayah. Sanggup renovate bahagian luar rumah, habiskan beribu duit untuk memberikan yang terbaik buat kami. Yang paling saya terharu. Ayah sanggup belikan semua ticket penerbangan anak-anaknya semata-mata nakkan semua adik-beradik saya hadir semasa majlis tersebut. Banyak lagi pengorbanan ayah dan mak yang mungkin tak tertulis tapi sentiasa tersemat dalam ingatan dan hati ini. Alhamdulillah atas segala nikmatNya, yang menganugerahkan kita rezeki yang melimpah ruah. Pesan ayah selalu, "apabila mendapat suatu nikmat, bersyukurlah maka Allah akan tambah lagi. Bersyukur lagi maka Allah akan tambah lagi." ❤️

Makanan pengantin; mak dan ayah serahkan kepada makcik-makcik sebelah ayah. Keluarga besar ayah juga banyak membantu melancarkan majlis. Mereka lah tulang belakang majlis kami, tanpa mereka lopong lah majlis dan kurang sempurna lah majlis tersebut. Alhamdulillah! Terima kasih kalian!

 Saya masih ingat kata-kata mak (dalam group whatsapp keluarga) ketika saya masih di mesir sebelum pulang ke malaysia seminggu sebelum nikah, "Mak rasa mak paling relaks sekali bab kahwin ni. Kalau tengok orang lain setahun sebelum kahwin dah sibuk dah banyak kerja. Betul ke kita ni? Ni je ke yang perlu kita buat? Risau mak,"

"Jangan risau mak, hajar dan adik-adik balik nanti kita orang siapkan semuanya. Sempat je insyaAllah. Tak banyak pun benda kena buat," ujarku.

Betul. Alhamdulillah. Apabila kita niatkan untuk buat majlis secara sederhana, dengan doa insyaAllah Allah akan bantu mudahkan segalanya.

.....

"Ya Allah, bantulah hambaMu ini agar senantiasa mensyukuri nikmatMu dan jangan sesekali Engkau jadikan kami kufur nikmat Ya Allah. Rezekikan kami rezeki yang halal dari sisiMu."
Share:

Ditampakkan kebiasaan saat sakarat

" Kalau ada orang yang biasa ketakutan (ghibah) ditampakkan ghibahnya. Jadi ketakutan dia. Takut, takut sampai gementar. Ada yang mengamuk. Ada yang macam-macam,"

" Kalau soleh, amal soleh dan pahalanya langsung ditampakkan seketika. Maka ketika ditampakkan pahala ke masjid itu, pahalanya kan sekali masuk 25, kali keduanya 1/2 500 tahun, banyak! Ternyata kerana jauh perjalanan ke masjid itu, tapaknya makin banyak. Lalu ditampakkan pahalanya. Maka orang ini saat wafat, saat sakaratnya mengatakan, " Ya Allah, kenapa tidak lebih jauh lagi supaya saya lebih banyak pahala lagi?"

"Nah yang kedua, pernah satu kali di jalan ketika musim dingin, dia berjumpa dengan seorang yang sedang kedinginan saat akan ke masjid. Orang ini mengenakan jacket luar yang biasa (sudah lama), dan pakaian yang dalamnya masih baru. Maka dilepaskan jacket luarnya yang biasa itu diberikan kepada temannya (yang kedinginan tadi), yang baru dia pakai. Lalu ditampakkan pahalanya (menolong orang dengan pakaiannya yang biasa), Luar biasa! Lantas berkata di lisannya,"Ya Allah, kenapa saya tidak berikan yang baru pada saat itu,"

Dipetik daripada ceramah Ustaz Adi Hidayat.

....


Mendengarkan kisah ini, tidakkah terlintas di fikiran kita untuk perhatikan amal-amal kita selama ini? Banyangkanlah amal yang kecil dan sederhana itu pun pahalanya sudah lumayan, apatah lagi amalan yang besar. Apakah amalan-amalan yang besar itu? Antaranya;

- Berbakti kepada kedua ibu bapa sehingga mendapat redha mereka, maka redha Allah bersama kita.
- Menuntut ilmu: sehinggakan yang mati saat dalam perjalanan menuntut ilmu dikira syahid di jalan Allah.
- Melawan hawa nafsu: serta mendidik nafsu untuk tunduk kepada perintah Rabbnya.
- Menyuruh kepada kebaikan & mencegah kemungkaran
- Berjihad di jalan Allah


Tetapi, jangan pernah kita perlekeh amalan-amalan kecil kerana pahalanya juga banyak. Sepertinya;
- Zikrullah
- Mengamalkan sunnah Nabi s.a.w
dan banyak lagi.

....

"Ya Allah, pandukan kami ke arah perkara yang beroleh pahala dan redhaMu, jauhi kami daripada murkaMu. Mudahkan sakarat kami, kerana sesungguhnya kami hambaMu yang banyak berbuat dosa dan lalai terhadapMu. Ampunilah kami, dan redhailah kami wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani."


Share:

Friday, February 8, 2019

Perasaan itu sifat manusiawi

Saya selalu bertanya suami saya," Macamna kita nak hindarkan diri kita daripada rasa benda-benda yang tak baik ya? Contohnya rasa jeles, menyampah dengan seseorang tu... Kita tak nak pun perasaan tu ada, tapi sekejap-sekejap nanti dia datang juga. Hmm,"

Kemudian dia menjawab,"perasaan ini semua adalah sifat manusia. Memang ada dalam diri, cuma bagaimana kita bijak handle dan kawal dia supaya perasaan kita terarah keranaNya, bukan kerana dicucuk-cucuk dan diagah sang syaitan,"

"Contohnya kita terdengar ada orang ni asyik memuji kawan sebelah kita. Mungkin masa ini hati kita terusik sikit.. Tiba-tiba syaitan mai mulalah membisik-bisikkan 'tengoklah kawan kamu tu, puji budak tu tak habis-habis. Hebat sangat ke budak tu...bla...bla." Haa masa ni jeles kita tinggi membuak-buak, menyebabkan kita rasa marah mendengar pujian orang tu. Tapi kalau kita cepat-cepat hapuskan bisikan jahat tu, dengan membaca 'auzubillah..' dan banyakkan istighfar, insyaAllah syaitan tak berani dekat dan perasaan itu kita dapat kawal," tambahnya lagi.

"Tapi susahlah 😭. Kalau kita dah ok, dapat lawan, tengok-tengok nanti perasaan tu muncul balik.." rengekku.

"Abang pun selalu rasa macam tu, tapi cepat-cepat kita tangkas. Boleh insyaAllah," balasnya lagi.

...........

Saya rasa terpanggil untuk berkongsi tentang ini kerana bila pertama kali saya dengar (mungkin sebelum ini pernah dah dengar tapi kali ni dia lain, rasa menusuk kalbu paling dalam) bahawa perasaan yang kita ada adalah suatu sifat semulajadi seorang yang namanya manusia. Allah hadirkan dalam jiwa manusia itu berbagai perasaan. Ada marah, cinta, sayang, suka, benci, dan banyak lagi. Perasaan-perasaan ini tidak salah untuk kita rasa. Yang menjadi suatu kesalahan adalah apabila perasaan itu hadir selain daripada keranaNya dan untukNya.

Saya berikan contoh bagaimana mengarahkan perasaan kita kerana Allah;
Cinta: Cintai ibu bapa, adik-beradik, sahabat kerana Allah cinta hambaNya yang mencintai makhluk lain.

Marah:
-Marah dan membenci perbuatan maksiat kerana Allah juga murka dan benci perbuatan tersebut.
-Marah dan bencikan pemimpin yang zalim kerana Allah membencinya

Dan lain-lain lagi.

Mengetahui akan hal ini, maka kita  akan lebih berhati-hati dalam mengungkap rasa. Sebelum kita membesar-besarkan sesuatu perasaan, kita teliti dulu adakah ianya kerana Allah atau bukan. Jika bukan, maka istighfar dan pedulikan dia. Kerana tiada faedah yang dapat jika kita terikut-ikut perasaan yang tidak baik ini.

"Ya Allah, aku memohon kekuatan dariMu. Sandarkanlah perasaan yang hadir ini hanya untukMu. Hapuskanlah rasa-rasa yang tak baik. Suburkan ukhuwah kami dengan mahabbah yang Kau cintai dan redhai. Terimalah segala amal kami, dan ampunilah kami."

...
Share:

Thursday, February 7, 2019

Salam Mahabbah

Bismillah. Assalamualaikum wbt. 

Ahlan kepada anda! Tahniah kerana menjumpai blog ini. 

Saya bukanlah sesiapa, hanya hamba hina. Tidak ada apa-apa keistimewaan dalam diri. Tetapi, saya berhajatkan dan mengimpikan perbaikan dalam diri ini dari hari ke hari.

Anda adalah tetamu kehormat saya. Semoga anda beroleh manfaat daripadanya. 
Selamat membaca!
Share: