Friday, February 8, 2019

Perasaan itu sifat manusiawi

Saya selalu bertanya suami saya," Macamna kita nak hindarkan diri kita daripada rasa benda-benda yang tak baik ya? Contohnya rasa jeles, menyampah dengan seseorang tu... Kita tak nak pun perasaan tu ada, tapi sekejap-sekejap nanti dia datang juga. Hmm,"

Kemudian dia menjawab,"perasaan ini semua adalah sifat manusia. Memang ada dalam diri, cuma bagaimana kita bijak handle dan kawal dia supaya perasaan kita terarah keranaNya, bukan kerana dicucuk-cucuk dan diagah sang syaitan,"

"Contohnya kita terdengar ada orang ni asyik memuji kawan sebelah kita. Mungkin masa ini hati kita terusik sikit.. Tiba-tiba syaitan mai mulalah membisik-bisikkan 'tengoklah kawan kamu tu, puji budak tu tak habis-habis. Hebat sangat ke budak tu...bla...bla." Haa masa ni jeles kita tinggi membuak-buak, menyebabkan kita rasa marah mendengar pujian orang tu. Tapi kalau kita cepat-cepat hapuskan bisikan jahat tu, dengan membaca 'auzubillah..' dan banyakkan istighfar, insyaAllah syaitan tak berani dekat dan perasaan itu kita dapat kawal," tambahnya lagi.

"Tapi susahlah 😭. Kalau kita dah ok, dapat lawan, tengok-tengok nanti perasaan tu muncul balik.." rengekku.

"Abang pun selalu rasa macam tu, tapi cepat-cepat kita tangkas. Boleh insyaAllah," balasnya lagi.

...........

Saya rasa terpanggil untuk berkongsi tentang ini kerana bila pertama kali saya dengar (mungkin sebelum ini pernah dah dengar tapi kali ni dia lain, rasa menusuk kalbu paling dalam) bahawa perasaan yang kita ada adalah suatu sifat semulajadi seorang yang namanya manusia. Allah hadirkan dalam jiwa manusia itu berbagai perasaan. Ada marah, cinta, sayang, suka, benci, dan banyak lagi. Perasaan-perasaan ini tidak salah untuk kita rasa. Yang menjadi suatu kesalahan adalah apabila perasaan itu hadir selain daripada keranaNya dan untukNya.

Saya berikan contoh bagaimana mengarahkan perasaan kita kerana Allah;
Cinta: Cintai ibu bapa, adik-beradik, sahabat kerana Allah cinta hambaNya yang mencintai makhluk lain.

Marah:
-Marah dan membenci perbuatan maksiat kerana Allah juga murka dan benci perbuatan tersebut.
-Marah dan bencikan pemimpin yang zalim kerana Allah membencinya

Dan lain-lain lagi.

Mengetahui akan hal ini, maka kita  akan lebih berhati-hati dalam mengungkap rasa. Sebelum kita membesar-besarkan sesuatu perasaan, kita teliti dulu adakah ianya kerana Allah atau bukan. Jika bukan, maka istighfar dan pedulikan dia. Kerana tiada faedah yang dapat jika kita terikut-ikut perasaan yang tidak baik ini.

"Ya Allah, aku memohon kekuatan dariMu. Sandarkanlah perasaan yang hadir ini hanya untukMu. Hapuskanlah rasa-rasa yang tak baik. Suburkan ukhuwah kami dengan mahabbah yang Kau cintai dan redhai. Terimalah segala amal kami, dan ampunilah kami."

...
Share:

0 comments:

Post a Comment