Saturday, February 16, 2019

"Sesiapa mentaatiku, dia mentaati Allah.."


Rasulullah s.a.w bersabda: " Barangsiapa yang mentaati aku, maka dia mentaati Allah. dan barangsiapa yang mendurhakai (bermaksiat pada) aku, maka dia telah mendurhakai (bermaksiat pula pada) Allah. dan barangsiapa yang mentaati pemimpin yang aku tunjuk, dia juga telah mentaati aku. dan barangsiapa yang bermaksiat kepadanya, maka dia telah bermaksiat padaku.."

Berdasarkan hadith di atas, suka saya menceritakan sebuah kisah yang menarik pada zaman pemerintahan Nabi s.a.w. Kisahnya lucu tapi penuh hikmah dan iktibar.

Suatu hari, ketika umur islamnya Amru ibn Al-As baru menjangkau 3 bulan, Nabi telah memilihnya untuk menjadi ketua panglima perang, memerangi satu suku arab yang pada saat itu ingin menyerang kota Madinah. Para sahabat seperti Umar Al-Khattab, Abu Bakr, Ali, juga ada pada saat itu, tapi Nabi s.a.w memilih Amru melebihi mereka.

Mengetahui Amru yang baru sahaja memeluk Islam, yang dahulunya merupakan musuh ketat Islam, Umar khususnya merasakan pemilihan ini sedikit sukar untuk ditelan tapi beliau tetap akur dan taat pada pilihan Rasulullah s.a.w..

Bermulalah perjalanan mereka, membawa panji Islam merentasi lautan padang pasir yang sangat kedinginan ketika itu kerana musim sejuk, dikepalai ketua mereka Amru ibn Al-As. Sampai di satu tempat, mereka berhenti berehat dan bermalam, Amru menyatakan satu arahan, "Tiada sesiapa dibenarkan menyalakan api!"

Dalam cuaca yang sangat kedinginan itu sehingga mencucuk tulang, Amru menghalang menyalakan api?! Umar bangkit bersuara, " Ya Amr, sejukk.." Suaranya yang keras dengan badannya yang tegap sasa lebih besar daripada Amru bisa saja digunakan untuk melepaskan geram. Amru tidak melayan keluhan Umar, dia tetap dengan arahannya. Tidak berganjak sedikit pun.

Umar berpaling kepada sahabatnya, Abu Bakr, " Hai Abu Bakr lihatlah, bagaimana bisa tidak menyalakan api,"

Abu Bakr membalas, "Ya Umar, ingat! Dia adalah pilihannya Rasulullah. Baginda tidak memilih kita dan sahabat lain yang lebih dahulu memeluk Islam melainkan baginda tahu dia layak memikulnya. Sabar dan akur saja. Pasti ada hikmahnya," Maka Umar diam dan memilih untuk bersabar.

Memang termaktub dalam syariat Islam, bahawa yang mengetuai peperangan akan menjadi imam solat mereka. Nak dijadikan cerita, pada malam hari Allah izin Amru berjunub dan dia perlu mandi untuk mengimami solat Subuh. Dia lalu meminta untuk dibawakan air. Umar bertanya,"untuk apa air?"

Amru menjawab, "aku berjunub dan aku mahu mandi wajib." Lalu, apabila dirasakan airnya terlalu dingin, dia berkata, "Airnya dingin sekali, aku bertayamum  saja."

Mendengarkan itu, Umar berkata,"kenapa mahu bertayamum? kan ada air.."

"tidak, aku bertayamum."

sekali lagi Umar berpaling ke arah Abu Bakr. "Ingat!" pesan Abu Bakr. Umar lalu meredamkan amarahnya, dan sekali lagi bersabar. Maka solatlah mereka Subuh diimami Amru yang mandi junub dengan bertayamum.

Usai solat, dengan satu laungan takbir oleh ketua panglima mereka, maka bermulalah peperangan menentang suku arab tersebut. Dalam suasana yang gelap masih pekat malam dan bilangan kaum muslimin sekitar 300 orang (bilangan yang sangat sedikit dibandingkan dengan bilangan suku arab tersebut yang dikatakan jika mereka datang menyerang kota Madinah, bisa hancur kota itu), maka Amru mengarahkan bahawa berperang melawan musuh sentiasa berdua, dan tidak boleh meninggalkan temannya sehingga dia selesai bertarung.

Strategi Amr berjaya menewaskan kumpulan lawan. Musuh lari bertebaran. Mereka telah menang! Melihatkan perihal musuh yang kucar-kacir itu, para sahabat menjadi lebih bersemangat. Takbir dilaung dan mereka maju untuk mengejar mereka. Pantas Amr menghalang, "Berhenti! Jangan kejar mereka, biarkan mereka lari. Tetap duduk berkumpul di sini!"

Sekali lagi Umar bangkit bersuara, " Kita sudah menang, nak risau apa lagi. Mereka kabur ketakutan, inilah peluang untuk tangkap mereka."

"Tidak! Biarkan mereka."

Umar tidak puas hati. Sekembalinya rombongan perang ke kota Madinah membawa kemenangan, Umar turun daripada kudanya lalu terus mengadu kepada Rasulullah ketidakpuashatiannya terhadap perilaku dan arahan Amru.

Rasulullah s.a.w bertanya kepada Amru di depan semua sahabat, "Keluhan telah datang kepadaku, perjelaskanlah perbuatanmu itu Amr."

Maka Amru menjelaskan semuanya, " Adapun aku menghalang daripada menyalakan api kerana seperti yang kita maklum, bilangan kita sangat sedikit dan tentera musuh jauh lebih besar bilangannya daripada kita, jika ada yang menyalakan api saat itu maka pihak musuh akan nampak dan dapat kesan sikitnya tentera muslimin dan serang kita, lalu kita akan tewas."

Rasulullah menjawab," kamu benar."

"Berkenaan tayamum itu, airnya sangatlah dingin. Aku khuatir aku akan jatuh sakit atau paling parah mati kesejukan sedangkan aku adalah panglima perang pilihanmu ya Rasulullah. Bagaimana aku boleh laksanakan tugas ku dengan baik jika aku jatuh sakit? Maka aku memilih untuk bertayamum sahaja."

"Kamu benar," ujar baginda s.a.w. lagi.

"Dan perihal menghalangi keinginan tentera muslimin mengejar pasukan musuh malah aku perintahkan mereka berkumpul di satu tempat kerana bilangan kita sedikit, jika kita ikut bertebaran mengejar, dikhuatiri pihak musuh akan mengesan bilangan kita yang sedikit sedang mereka yang kabur itu masih terlalu banyak berbanding kita, mereka akan berpatah balik dan menyerang maka kita akan tewas pula. Memandangkan kita sudah menang, itu sudah cukup. Tujuan kita sudah tercapai. Lalu aku melarang mereka mengejar pihak musuh."

"Kamu benar,"

Mendengarkan penjelasan Amru dan dibenarkan oleh baginda, Abu Bakr di sebelah Umar mencuit Umar lalu berkata, "Nah, sudah tahukan sebabnya," candanya. Umar pun akur.

.....






Share:

0 comments:

Post a Comment